Bagi pelajar daripada Malaysia Wan Siew, dia tidak menyesal berpindah ke Australia untuk melanjutkan pelajarannya

Sejak kecil saya teringin untuk mengunjungi Australia kerana saya tertarik dengan pemandangan indah di Australia terutamanya pantai di sepanjang Great Ocean Road. Selain daripada itu, saya amat sukakan haiwan seperti kanggaru dan koala. Jadi mengapa tidak saya melanjutkan pelajaran saya ke Australia?

Great Ocean Road Memorial Arch

Saya tidak dapat menahan kegembiraan ketika pertama laki saya tiba di Melbourne kerana saya tahu kehidupan baru saya akan bermula. Kakitangan daripada Student Welcome Desk memberi sambutan yang mesra semasa saya tiba di lapangan terbang. Mereka juga memberi banyak maklumat tentang Melbourne. Membuatkan saya berasa lega dan tidak perlu risau. Tahun ini adalah tahun keempat saya tinggal di Melbourne dan inilah pilihan yang terbaik dalam hidup saya.

Saya tahu bahawa saya telah membuat pilihan yang tepat sejak hari pertama saya sebagai pelajar Bachelor of Agriculture di University of Melbourne. Selain daripada merupakan universiti yang terkemuka di Australia, ahli akademik dan kakitangan di universiti ini sentiasa memberikan sokongan yang berterusan dan menggalakkan saya untuk melanjutkan pengajian Master in Agricultural Sciences supaya saya dapat meluaskan pengetahuan saya.


Konvokesyen Bachelor of Agriculture pada Julai 2016

Sebagai sebahagian daripada kurikulum, saya telah diberikan peluang untuk menjalani latihan industri dalam pengurusan ladang. Di sini saya dapat menerapkan pengetahuan yang telah diperlajari di dalam kelas dan pengalaman ini juga membantu saya menentukan kerjaya masa depan saya dengan mengetahui bidang yang tidak sesuai untuk saya.

Selain itu, kursus intensif di Kampus Dookie juga adalah salah satu pengalaman yang luar biasa. Saya dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tentang pengeluaran pertanian dengan kemudahan dan pengajaran yang baik di Kampus Dookie.

Pandangan dari Kampus Dookie- Kolej pertanian yang paling lama di Victoria

Seperti kebanyakan pelajar, saya juga berasa ragu dan melalui pengalaman turun naik sebagai pelajar. Penasihat daripada Student Connect sentiasa menyokong dan memberi nasihat berguna kepada saya dan memberikan motivasi untuk membantu saya kekal fokus. Mereka juga memberikan nasihat dan bantuan yang terperinci untuk mengatasi kelemahan seperti bagaimana cara untuk berkomunikasi dan menjalin hubungan dengan rakan sekerja dalam bidang yang sama  dan pelbagai idea untuk mencapai sasaran saya. Juga, laman Facebook 'First Year at Unimelb’ memberikan informasi terkini dan sentiasa dikemas kini seperti ekspo pelajaran dan sesi kerjaya yang sungguh bermanfaat kepada pelajar.

Selain daripada pelajaran, saya juga seorang peminat sukan badminton. Semasa waktu terluang, saya akan bermain badminton dan mengambil bahagian dalam pertandingan yang dianjurkan. Melalui sukan badminton saya dapat mengenali rakan-rakan dari pelbagai latar belakang dan saya masih berhubung dengan mereka walaupun mereka telah berpindah dari Melbourne selepas menamatkan pengajian. Bermain badminton dapat menyegarkan minda, menenangkan fikiran saya dan mengajar saya menjadi seorang yang positif terhadap kehidupan.


Sebelum permulaan permainan badminton

Hanya tinggal 6 bulan sebelum saya menamatkan pengajian, saya percaya bahawa saya akan merindui kehidupan di Univeristy of Melbourne! Pada masa yang sama, saya yakin bahawa pengetahuan dan pengalaman yang saya dapati dari universiti akan membantu saya menangani segala cabaran di masa depan.

Jadi, apa yang anda tunggu? Datanglah ke Melbourne! Sertai komuniti unimelb!

Related Stories

Have a question about studying with us? Enquire now